KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang meneliti cadangan pembinaan satu pusingan U (U-turn) tambahan di Jalan Berungis-Tebobon dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering membelenggu pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Timbalan Pengarah JKR Sabah, Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Dato’ Ir. Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid berkata, cadangan itu dikemukakan penduduk setempat dan dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek yang praktikal sebelum pelaksanaan penuh projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya.
Katanya, lokasi U-turn sedia ada di Bandar Sierra agak jauh dan menyukarkan penduduk, khususnya dari Kampung Tebobon.
"Cadangan baharu ini, yang terletak berhadapan bangunan Telekom Malaysia (TM), dijangka mampu memberi manfaat segera.
“Sekiranya diluluskan, pembinaan U-turn baharu ini boleh disiapkan dalam tempoh sebulan hingga enam minggu,” katanya selepas menghadiri taklimat pengurusan trafik Projek Lebuhraya Pan Borneo WP07 dan WP08 bersama pemimpin setempat di Pejabat Tapak WP08, di sini, hari ini.
Mengulas perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo, beliau memaklumkan bahawa laluan utama WP07 dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, manakala WP08 pada tahun 2026.
Beliau berkata, antara elemen penting dalam projek itu adalah pembinaan jejambat mini (mini flyover) di Tuaran yang juga dijangka siap dalam tahun sama.
“Pada November ini, laluan dari Tebobon hingga ke persimpangan Norowot yang turut mempunyai jejambat akan mula dibuka sepenuhnya.
"Ini akan memberi impak besar terhadap aliran trafik kerana pengguna tidak perlu lagi membuat pusingan jauh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, menyambut baik inisiatif dan penjelasan yang diberikan pihak JKR dalam menangani isu kesesakan jalan raya di kawasan itu.
“Kami diberi jaminan bahawa langkah segera sedang diambil dan penyelesaian jangka panjang sedang giat dilaksanakan. Rakyat perlu bersabar sehingga projek ini siap sepenuhnya,” katanya.
Ketua Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris pula berkata, penjelasan yang diterima akan dimaklumkan kepada penduduk di peringkat akar umbi supaya mereka lebih memahami perkembangan sebenar projek berkenaan.
“Sekurang-kurangnya hari ini kami diberi penerangan yang jelas mengenai status projek Pan Borneo di kawasan Karambunai, dan maklumat ini akan kami sampaikan kepada masyarakat,” katanya.