Jala ikan, bom pula ‘naik’

Ihsan: IPD Lahad Datu.

LAHAD DATU: Niat seorang lelaki mahu mencari rezeki dengan menjala ikan di tebing Sungai Segama, di sini, bertukar cemas apabila dia menemui sebutir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lelaki terbabit yang menyangka jala tersangkut objek berat terkejut apabila terlihat ia sebenarnya bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Haji Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati bom berkenaan berukuran 30 sentimeter panjang dengan ukur lilit 40 sentimeter serta berat dianggarkan 226 kilogram.

“Bom itu dipercayai buatan British dan peninggalan zaman Perang Dunia Kedua,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kawasan penemuan kini dipasang kawalan polis sementara menunggu Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Kontinjen Sabah untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri lokasi berkenaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama