JTU catat prestasi KPI SMJ memberangsangkan

KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya melaksanakan 11 daripada 12 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun 2024 dengan pencapaian keseluruhan sebanyak 92 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kejayaan itu sekali gus membuktikan komitmen tinggi warga JTU dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri.

“Pencapaian ini adalah hasil kerja keras, dedikasi serta budaya kerja cemerlang warga jabatan. Sebagai contoh, pungutan hasil tanah yang disasarkan sebanyak RM281 juta pada 2024, berjaya dilepasi dengan kutipan mencecah RM290.87 juta atau 104 peratus.

“Selain itu, sebanyak 55,670 permohonan tanah telah diproses berbanding sasaran 45,000 permohonan, manakala pengukuran Tanah Adat Anak Negeri (NCR) pula mencapai 17,701.50 hektar berbanding sasaran 15,000 hektar,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 JTU di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin.

Hajiji menegaskan, kejayaan JTU mewartakan 82 tapak simpanan kampung berbanding sasaran 80 tapak serta pembangunan tiga sistem baharu dalam talian-Sistem Perlanjutan Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Sistem Penguatkuasaan Tanah dan Aplikasi 3D Building — adalah bukti pendekatan jabatan yang progresif dan seiring keperluan semasa.

Beliau turut menekankan kepentingan Program Pengukuran Tanah Adat Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang kekal sebagai agenda utama kerajaan negeri dalam menjamin hak pemilikan tanah bumiputera.

“Sejak dilaksanakan pada 2011, Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri telah menyalurkan sebanyak RM251.34 juta bagi program ini. Sehingga Jun 2025, sebanyak 488,705 ekar melibatkan 70,436 lot tanah adat telah berjaya diukur.

“PANTAS memberi impak besar kerana ia membantu anak negeri Sabah memiliki tanah sendiri. Usaha ini terus diperkasa melalui pelancaran Galeri Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang akan menjadi simbol dedikasi jabatan serta sumber ilmu dan inspirasi untuk generasi akan datang,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima APC 2024 dan mengingatkan mereka agar menjadikan pengiktirafan itu sebagai pendorong untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

“Budaya kerja kreatif dan inovatif perlu dipupuk bagi memastikan sistem penyampaian lebih mantap dan berkesan. Komitmen yang berterusan amat penting untuk memastikan Sabah terus melangkah maju selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama