Tuduhan Suhaimi bermotif politik, GRS terus bawa pembangunan – Nizam

 

KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor gagal mentadbir negeri ini disifatkan sebagai tidak berasas, bersifat berat sebelah serta bermotif politik semata-mata.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, adalah satu tohmahan yang cuba mengaburi mata rakyat daripada pencapaian sebenar kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji.

Beliau berkata, tuduhan kononnya pengalaman luas Hajiji tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat adalah fitnah yang jelas bertentangan dengan fakta pembangunan yang berlaku sejak lima tahun lalu.

“Isu asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik adalah masalah legasi puluhan tahun yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu, termasuk ketika UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Sejak 2021, Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk menaik taraf jalan luar bandar, mempercepat pembinaan empangan, menambah baik sistem agihan air serta bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk menstabilkan bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, usaha menangani masalah infrastruktur asas memerlukan masa, namun pelbagai projek sedang giat dilaksanakan secara berperingkat.

Mengulas isu pengangguran, beliau berkata Sabah berdepan cabaran geografi serta kebergantungan terhadap sektor tidak formal, namun usaha kerajaan negeri menarik pelaburan terus menunjukkan hasil positif.

“Antara 2021 hingga 2024, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai RM35.38 bilion melibatkan 420 projek yang menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan baharu, terutama dalam sektor minyak dan gas, pelancongan, pertanian hiliran serta industri teknologi.

“Ini adalah pencapaian yang tidak pernah dicapai semasa pentadbiran sebelum ini,” katanya.

Mengenai dakwaan wujud skandal berkaitan lesen mineral, beliau menjelaskan isu itu telah dijawab secara rasmi oleh Sabah Mineral Management (SMM) dan Jabatan Tanah dan Ukur.

“Tiada sebarang lesen carigali dikeluarkan kepada mana-mana syarikat, termasuk yang dikaitkan dalam laporan yang disebarkan. 

"SMM juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan laporan palsu tersebut,” katanya.

Mengulas kenyataan Suhaimi yang meminta Hajiji “berehat”, beliau menyifatkannya sebagai retorik politik murahan yang tidak mencerminkan realiti prestasi kerajaan negeri.

“Di bawah pimpinan Hajiji, Sabah berjaya mencapai kestabilan politik, memulihkan keyakinan pelabur dan mengukuhkan hasil negeri termasuk melalui penyertaan langsung dalam Petronas.

“Rakyat Sabah masih ingat siapa yang gagal menjaga integriti ketika berkuasa dan siapa pula yang hanya pandai menabur janji, namun meninggalkan hutang serta masalah struktur tanpa penyelesaian,” katanya.

Menurutnya, serangan terhadap Hajiji tidak akan memadamkan fakta bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membawa hala tuju pembangunan yang lebih mapan untuk masa depan negeri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama