KOTA KINABALU: Seramai 645 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, semalam.
Mereka terdiri daripada 451 lelaki dewasa, 127 wanita dewasa, 37 kanak-kanak lelaki dan 30 kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 77 tahun, yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Sandakan dan Tawau.
Kesemua mereka dihantar pulang menggunakan kapal MV ANTONIA 1 dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PATI berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut undang-undang yang ditetapkan dan memiliki dokumen perjalanan sah untuk kembali ke negara asal.
“Sehingga kini, seramai 5,639 warganegara Filipina sudah dihantar pulang, menjadikan jumlah keseluruhan pemindahan PATI dari Sabah seramai 7,203 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua majikan supaya menyertai program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan kehadiran pekerja asing direkod secara sah, terutama dalam sektor perladangan.
Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
“Majikan yang ingkar boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI,” katanya.
Beliau menegaskan, JIM Sabah akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan bagi mengekang lambakan PATI serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri ini sentiasa terpelihara.