Kerajaan utamakan hak penduduk asal, Kampung Lama diwartakan rizab perkampungan

 

Hajiji (tengah) ketika ditemui media di Pisompuruan Square.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada kampung-kampung lama yang diduduki penduduk asal bagi memastikan mereka mendapat tanah yang sah sebagai rizab perkampungan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata usaha itu membolehkan penduduk yang telah tinggal berpuluh tahun di sesuatu kawasan tidak lagi dianggap sebagai setinggan.

“Baru-baru ini di Dewan Undangan Negeri, kita keluarkan tanah kerajaan termasuk kawasan hutan hampir 40,000 ekar untuk puluhan kampung.

“Bukan sahaja tanah kerajaan, malah jika ada kampung yang diduduki lebih 20 tahun malah sehingga 70 hingga 80 tahun, kenapa tidak kita wartakan sebagai rizab perkampungan. Itu yang kita lakukan,'' katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Roadshow Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025, pada Khamis.

Pada majlis tersebut Hajiji menyerahkan Warta Tapak Perkampungan kepada Ketua Daerah Keningau, Daniel Palangi (Kg. Ria Atas dan Kg. Kapayan Lama), Ketua Daerah Sook, Lanusag Raipol Etap (Kg Karanaan Baru dan Kg. Sendukut) serta Ketua Daerah Tambunan, OKK Philip P. Kitingan (Kampung Kaingaran dan Kg. Lintuhun).

Turut menerima Warta Tapak Perkampungan ialah OKK Tusip Tulas (Kg. Poguakon Tengah), OKK Biou Suyan (Kampung Mailo Ulu) serta Ketua Daerah Nabawan, Ulin Datuk Pamiang (Kg. Tataluan Mukim Sepulut dan Kg. Tatagas Saupi).

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata Jerayawara YSBR 2025 menggabungkan pelbagai komponen penting termasuk peluang pendidikan, ceramah pendidikan dan motivasi, kaunter pembayaran Rebat Madani, pemeriksaan kesihatan percuma dan banyak lagi.

''Jerayawara YSBR ini selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri. Di bawah pelan ini, kerajaan komited untuk memastikan pembangunan menyeluruh, adil dan lestari kepada seluruh rakyat Sabah.

''Kita telah lihat peningkatan pelaburan masuk ke Sabah, pembangunan infrastruktur yang giat dilaksanakan, dan peningkatan akses kepada perkhidmatan asas di kawasan luar bandar. Semua ini hanya boleh dicapai apabila wujud kestabilan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan,'' ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan,  Timbalan Ketua Menteri II,   Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sri Gulamhaidar@ Yusof Khan Bahadar.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama