![]() |
Lebih 1300 buah rumah berjaya diselamatkan dalam kebakaran yang memusnahkan 26 buah rumah di Kampung Kurnia Jaya, pagi tadi. Foto Ihsan Bomba. |
TAWAU : Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran besar di Kampung Kurnia Jaya di sini pagi tadi, sekali gus menyelamatkan lebih 1,300 buah rumah daripada turut musnah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Tawau, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.37 pagi sebelum sepasukan 39 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba, operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan teknik ofensif dan defensif bagi mengelakkan api terus merebak.
"Kebakaran melibatkan 25 buah rumah tidak kekal dan satu rumah separuh kekal yang musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan keluasan kawasan yang terbakar dianggarkan berukuran 12,000 kaki persegi, dan sebuah motosikal turut musnah dalam kejadian itu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni rumah terbabit sempat keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, pasukan bomba turut menggunakan empat aliran air, termasuk pam angkut dari sumber air terbuka (laut) serta dua pancutan dari jentera bomba.
Operasi pemadaman melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), selain bantuan bomba komuniti.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.14 pagi dan operasi ditamatkan pada 11.45 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan di kawasan sekitar.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.