Pegawai Armizan buat laporan polis terhadap 2 akaun sebar fitnah kes Zara


KOTA KINABALU: Dua akaun media sosial didakwa cuba mengheret nama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam isu kematian tragis seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, yang kini dikenali sebagai Kes Zara.

Ekoran dakwaan liar itu, Setiausaha Politik kepada Datuk Armizan, Ghazali Hajiji, membuat laporan polis terhadap pemilik akaun TikTok 'saka_merah7' dan satu lagi akaun yang turut dipercayai menyebarkan tuduhan tidak berasas demi agenda politik murahan.

Ghazali berkata, hantaran berunsur fitnah yang tular itu bukan saja menjatuhkan maruah menteri, malah mengundang tekanan tambahan kepada keluarga mangsa yang masih bersedih.

"Dalam keluarga Allahyarhamah menghadapi dugaan yang amat berat ini, tidak perlulah ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menabur fitnah untuk public defamation bagi tujuan politik.

"Landskap politik di Sabah ini cukup matang, tidak perlu kita pergi begitu rendah sehingga ke tahap ini. Cukup-cukuplah, we are better than this.

"Untuk makluman, anak Yang Berhormat Datuk Armizan Mohd Ali tidak bersekolah di sekolah tersebut.

"Sebagai Setiausaha Politik kepada YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan fitnah & tuduhan palsu ini tidak terus tersebar dengan penafian yang jelas," jelasnya.

Terdahulu, Armizan dalam satu kenyataan turut menafikan dakwaan yang tular bahawa anak buahnya bersekolah di SMKA Tun Datu Mustapha.

"Jangan cuba berselindung di sebalik 'pertanyaan' untuk menularkan berita palsu dengan motif politik.

"Cara ini tidak dapat menyelesaikan kes, jauh sekali berlaku adil kepada arwah mangsa dan keluarga. Saya tidak ada 'anak buah' di sekolah yang dimaksudkan," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama