Lebih 50 peratus Dewan Masyarakat Kota Kinabalu rosak, bentuk asal dikekalkan dalam cadangan baik pulih

Sabin samitah, mayor DBKK.

KOTA KINABALU: Lebih 50 peratus kerosakan melibatkan bangunan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang berlaku dalam kebakaran baru-baru ini. 

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Sabin Samitah berkata pihaknya kini menunggu laporan siasatan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebelum mengemukakannya kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan kerja pembaikan dewan tersebut. 

Menurutnya, kebakaran yang berlaku itu telah merosakkan bahagian bumbung yang sebahagian besar dindingnya diperbuat daripada kayu dan 'polywood'. 

Walau bagaimanapun, menurutnya struktur konkrit dewan berkenaan tidak terjejas dan puhak DBKK bercadang mengekalkan bentuk asal dewan tersebut.

“Antara cadangan utama adalah mengekalkan bentuk sedia ada dewan berkenaan kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi. 

“Dari segi landskap luar pula, kita mahu melakukan naik taraf supaya kelihatan lebih cantik dan sesuai dengan imej semasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 yang bertempat di Grand Ballroom Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim A Yahya dan Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Masidi Majnun.

Majlis pelancaran itu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa lawatan ke tapak kejadian turut dilakukan bersama pegawai kanan DBKK, JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat insurans serta jurunilai kerosakan untuk menilai impak kebakaran.

Katanya, pihaknya tidak bercadang untuk merobohkan bangunan itu kerana masih kukuh dari segi struktur asas.

“Dewan itu boleh dianggap antara bangunan bersejarah bagi negeri Sabah. Justeru, kita mahu pastikan ia terus menjadi ruang kebanggaan masyarakat dengan wajah yang lebih segar,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur dengan pelancaran majlis pada hari ini walaupun terpaksa menukar lokasi pada saat akhir, susulan kejadian kebakaran di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

“Dengan bantuan daripada Kementerian Kewangan Sabah dan kebetulan adanya tempat yang kosong di sini, kita tetap berjaya mengadakan majlis yang cukup meriah yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah,” tambahnya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama