LAHAD DATU: Tiga beradik wanita tak sempat ‘enjoy’ lama selepas ditahan kerana dipercayai menggunakan kad ATM milik orang lain yang ditemui tercicir untuk membeli pelbagai barangan di daerah ini.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di beberapa premis sekitar daerah ini, suspek warga tempatan itu dikatakan menggunakan kad ATM itu untuk membuat bayaran secara payWave.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kegiatan tiga beradik itu terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis sebaik menyedari kad ATM miliknya hilang.
“Hasil semakan dengan pihak bank mendapati kad itu telah digunakan beberapa kali untuk pembelian tanpa pengetahuan dan kebenaran pemiliknya.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Lahad Datu berjaya mengesan serta menahan ketiga-tiga suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
“Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan segera membuat laporan jika kehilangan kad bank untuk elakkan penyalahgunaan,” katanya.