![]() |
| Steven Sim ketika berucap pada majlis Hari Kesatuan Sekerja Peringkat Negeri Sabah, semalam. |
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan sedang menyemak semula 28 undang-undang perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan ia selaras dengan amalan terbaik masa kini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, semakan itu penting bagi memberi perlindungan secara menyeluruh kepada pekerja.
“Semakan ini penting kerana ada peruntukan yang sudah lapuk, termasuk larangan wanita bekerja pada waktu malam yang sehingga tahun lalu masih wujud dalam Ordinan Buruh Sabah,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Hari Kesatuan Sekerja Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 bertempat di Grand Ballroom, ITCC, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Sehenti Kesuma (Kesuma One Stop Service Centre) telah dilancarkan dan dimulakan di Sabah.
“Pusat ini akan menggabungkan semua perkhidmatan di bawah sembilan jabatan dan lima agensi di bawah Kesuma.
“Ini sudah tentu akan memudahkan urusan dengan Kesuma oleh sama ada pekerja ataupun majikan” jelasnya.
Menurut Steven, pekerja di Sabah kini menikmati hak dan perlindungan yang sama seperti rakan sekerja di Semenanjung selepas pindaan Ordinan Buruh Sabah yang ditunggu lebih dua dekad akhirnya dilaksanakan.
Katanya, pindaan bersejarah itu telah diwartakan pada 1 Mei lalu dan berkuat kuasa sempena Hari Pekerja, sekali gus menoktahkan ketidakadilan yang sekian lama dihadapi pekerja di negeri ini.
“Pekerja di Sabah telah menunggu lebih 20 tahun untuk menikmati hak yang setara. Dengan pindaan ini, mereka kini dilindungi setaraf dengan pekerja di Semenanjung,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkasakan pekerja akan diteruskan, bukan sahaja melalui pindaan undang-undang, tetapi juga dengan memurnikan peruntukan sedia ada agar semua pekerja menikmati hak sama rata.
