KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir melahirkan kebimbangan berhubung penularan naratif ‘plot twist’ di media sosial yang mengaitkan kematian remaja itu berpunca daripada tekanan emosi akibat ibunya sendiri.
Menurut firma guaman Hamid Ismail & Shahlan Jufri, penyebaran dakwaan seumpama itu bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan integriti siasatan kes yang masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Menerusi satu kenyataan media, mereka berkata naratif berkenaan dipercayai berpunca daripada kebocoran maklumat siasatan termasuk kandungan satu helaian kertas yang dikatakan 'diari' milik Allahyarhamah, yang kini tular dan dianggap sebagai 'bukti berjisim'.
“Jika benar kertas tersebut adalah antara barang peribadi yang diambil polis dari lokar Allahyarhamah selepas kematiannya, ia menunjukkan kemungkinan berlaku kebocoran maklumat daripada fail siasatan kepada umum.
“Ini satu pencabulan terhadap siasatan yang sedang dijalankan. Ia membentuk satu persepsi terhadap Allahyarhamah dan lebih membimbangkan, menyasarkan ibunya sebagai punca tekanan sehingga membawa kepada kematian,” katanya.
Peguam berkata tindakan tersebut boleh menimbulkan prejudis dan menggugat keadilan sebenar buat Allahyarhamah, selain berisiko mempengaruhi penilaian masyarakat dan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, mereka telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara pagi tadi untuk merayu agar siasatan dibuka semula, serta menuntut beberapa tindakan segera diambil.
Antara langkah yang dicadangkan ialah kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia dan disiasat semula oleh pegawai berpengalaman dari Bukit Aman.
Mereka juga memohon agar kubur Allahyarhamah digali semula bagi tujuan bedah siasat serta satu inkues diadakan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian itu.
Menurut peguam, siasatan terdahulu dianggap tidak menyeluruh kerana tiada bedah siasat dijalankan, manakala pakaian dan barangan peribadi Allahyarhamah yang sepatutnya menjadi bahan bukti tidak diambil untuk siasatan.
“Keterangan berhubung kesan lebam pada badan Allahyarhamah hanya diambil beberapa minggu selepas kejadian. Tanpa bukti lengkap, sukar untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus,” katanya.
Difahamkan, hari ini pihak keluarga akan menyerahkan semua pakaian dan barangan Allahyarhamah Zara kepada polis bagi membantu siasatan, seperti yang diminta oleh pihak berkuasa semalam.
Dalam masa sama, peguam menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan fitnah atau menjejaskan proses keadilan, dan menghargai semua pihak yang terus menyuarakan solidariti terhadap keluarga Allahyarhamah.
Terdahulu, Zara Qairina, 13, ditemui meninggal dunia di bawah bangunan asrama sekolahnya di Sabah pada 16 Julai lalu.