Tidak timbul isu berbangkit jika bedah siasat dilaksana lebih awal - Armizan


TUARAN: Bedah siasat perlu dilaksanakan dalam setiap kes kematian yang tidak jelas punca dan keadaannya sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kewajipan itu penting bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit dan memastikan keadilan dapat ditegakkan, seperti yang berlaku dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina.

Katanya, kenyataan Pejabat Peguam Negara yang mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan susulan termasuk melakukan bedah siasat dengan menggali semula kubur mangsa adalah langkah yang amat bertepatan.

“Sewajarnya dari peringkat awal lagi, dalam kes-kes kematian yang tidak jelas punca dan situasinya, bedah siasat wajib dilakukan.

"Pegawai Penyiasat mempunyai kewajipan menentukannya mengikut Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pertandingan Betitik sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata PDRM perlu mengambil tindakan susulan segera untuk melaksanakan proses bedah siasat berkenaan.

Katanya, walaupun masih terlalu awal untuk diputuskan, pihak berkuasa juga perlu terbuka mempertimbangkan prosiding inkues sekiranya keadaan memerlukan.

“Inkues adalah platform perundangan yang membolehkan semua fakta diteliti melalui saksi-saksi relevan dan orang awam dapat mengikutinya secara terbuka.

"Ini penting bagi kes yang mendapat perhatian umum luar biasa serta mengundang pelbagai spekulasi,” katanya.

Armizan turut menegaskan bahawa proses siasatan yang telus dan berpaksikan undang-undang akan membantu membendung fitnah serta memastikan keadilan untuk Allahyarham Zara.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama