Saya tiada anak bernama Farisha - Mohd Arifin

 

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menafikan dakwaan yang mengaitkan seorang pelajar bernama Farisya sebagai anaknya dalam kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, 13.

Beliau berkata, dakwaan yang tersebar di media sosial itu tidak benar sama sekali, malah beliau tidak mempunyai anak dengan nama sedemikian dan tiada seorang pun anaknya bersekolah di sekolah menengah berkenaan.

“Saya baca di media mengenai dakwaan kononnya seorang bernama Farisya adalah anak saya. 

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak ada anak bernama Farisya dan anak saya tidak ada yang bersekolah di sekolah berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Arifin memaklumkan beliau telah menziarahi arwah Zara ketika dirawat di hospital bersama Ketua Pengarah kementeriannya, selain hadir ke rumah keluarga mangsa di Sipitang empat hari selepas kematian pelajar itu.

“Ketika di Sipitang, saya bersama rombongan Yayasan Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin menyampaikan salam daripada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kepada ibu arwah,” katanya.

Arifin turut mendoakan Allahyarhamah dicucuri rahmat dan keluarga diberikan kekuatan, selain menyeru semua pihak menunggu hasil siasatan polis.

“Kita tidak akan berkompromi dalam kes ini. Saya mahu siasatan dijalankan secara telus dan terbuka bagi mendapatkan keadilan untuk arwah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama