Pakar Forensik Hospital Serdang sertai proses bedah siasat mayat Zara Qairina


KOTA KINABALU: Ketua Jabatan Forensik Hospital Serdang, Dr. Khairul Anuar Zainun, hari ini hadir bagi membantu menjalankan proses bedah siasat ke atas mayat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini.

Dr. Khairul Anuar, yang juga Pakar Perunding Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, akan bekerjasama dengan Pakar Patologi HQE I, Dr. Jessie Hiu, dibantu dua kakitangan perubatan, bagi melaksanakan proses tersebut.

Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata kehadiran pakar dari Semenanjung itu adalah langkah pihak polis memastikan semua elemen keadilan ditegakkan dalam kes kematian remaja berkenaan.

“Bedah siasat dijangka bermula selepas ketibaan Dr. Khairul Anuar sekitar jam 11.30 pagi dan proses ini mungkin mengambil masa empat hingga lima jam.

“Selepas selesai, doktor akan memaklumkan dapatan awal kepada keluarga,” katanya ketika ditemui di perkarangan HQE I, di sini, pagi ini.

Hamid berkata, selepas proses bedah siasat, mayat akan dibawa pulang ke Sipitang untuk dikebumikan semula.

“Seorang wakil keluarga iaitu peguam, Shahlan, akan berada di dalam bilik bedah siasat mewakili pihak keluarga.

“Kami berharap orang ramai terus berdoa agar keadilan untuk Zara dapat ditegakkan,” katanya.

Terdahulu, jenazah pelajar berusia 13 tahun itu tiba di hospital berkenaan pada jam 10.30 malam tadi selepas selesai digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang, kira-kira tiga jam sebelum itu.

Jenazah kemudian dibawa ke Jabatan Radiologi untuk pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) sebelum disimpan di Jabatan Perubatan Forensik.

Kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur jenazah Allahyarham yang menunggu sejak tengah hari.

Proses itu dikawal sepasukan anggota polis bagi memastikan ia berjalan lancar sambil dipantau pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama