KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu berjanji untuk melaksanakan pelbagai bantuan pendidikan kepada golongan pelajar sekolah dan juga institut pengajian tinggi (IPT).
Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah melaksanakan dan menyalurkan bantuan terbabit sejak menerajui pentadbiran kerajaan di negeri ini.
"Sebut saja - bantuan kepada pelajar SPM, STPM dan STAM (RM200 seorang), bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat asasi, matrikulasi, diploma (RM1,500) dan ijazah (RM2,000), bantuan kepada pelajar Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak dan Labuan (RM600), bantuan kepada pelajar Sabah yang berada dalam negeri (RM300) dan banyak lagi.
"Ini termasuk bantuan kepada hampir 1,500 buah PIBG seluruh negeri sebanyak RM2,000 dan semua sekolah di Sabah sebanyak RM3,000. Belum dikira bantuan penyelenggaraan sekolah berjumlah RM50,000 dan terkini bantuan yuran MUET kepada ribuan pelajar Sabah.
"Malah dana biasiswa turut ditingkatkan kepada RM136 juta pada tahun ini selain bantuan oneoff kepada pelajar Sabah melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS)," katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, beliau turut berkata kerajaan negeri juga telah melaksanakan pelbagai program yang menyantuni golongan pelajar seperti Piala Ketua Menteri, Destini SMJ Anak Muda dan sebagainya selain penubuhan IPT di Sabah.
"IPT milik kerajaan negeri Sabah iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) juga telah menyediakan pendidikan hampir percuma kepada para pelajar.
"Dalam isu PTPTN, kerajaan GRS merancang untuk meringankan beban para pelajar melalui inisiatif subsidi atau diskaun pembayaran hutang.
"Ini lebih realistik berbanding menghapuskan hutang PTPTN - melihat kepada keutamaan untuk menyelesaikan isu keperluan asas rakyat terlebih dahulu.
"Janji sahaja tidak berguna kalau kerajaan tidak mampu meningkatkan pendapatan. Itulah yang dilakukan kerajaan GRS, ada keupayaan terus laksana program untuk rakyat. Tidak menjanjikan bulan dan bintang, melaksanakannya berdasarkan keupayaan kewangan kerajaan," katanya.
Susulan itu, Azrul berkata rakyat harus memainkan peranan untuk mengundi kerajaan yang mampu meneruskan agenda untuk menjadikan negeri lebih makmur dan sejahtera dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang
"Kerajaan yang kuat bererti suara kita sebagai Sabahan akan lebih dihormati.
"Paling mustahak kita akan memiliki 'bargaining power' yang signifikan dalam menuntut hak negeri. Ini peluang keemasan kita, jangan sia-siakan," katanya.
Terdahulu, Presiden Parti WARISAN (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Sabtu berjanji memansuhkan dan membayar semula semua hutang pendidikan anak negeri termasukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah.
Katanya, perkara itu boleh dilaksanakan melalui penstrukturan Yayasan Sabah sekiranya mendapat mandat baharu menerajui kerajaan negeri dalam PRN17 kelak.
