Tiada penglibatan anak VVIP - Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang penglibatan anak VVIP berhubung kematian pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama, Zara Qairina Mahathir yang dijumpa jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan perkara terbabit dalam satu sidang media khas yang diadakan di Bukit Aman, hari ini.

"Siasatan setakat ini mendedahkan tiada anak VVIP terlibat seperti yang ditularkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata tindakan tegas akan dikenakan ke atas pegawai penyiasat dan penyelia yang bertanggungjawab dalam kes ini.

Menurutnya, ini susulan dapatan hasil siasatan pasukan Task Force Bukit Aman mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan membabitkan kematian Zara Qairina Mahathir di mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat.

"Walau bagaimanapun, saya juga perlu mendedahkan bahawa terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu mangsa memohon supaya bedah siasat tidak dibuat.

"Persetujuan ini direkodkan dengan tandatangan ibu mangsa, doktor, patalogi dan pegawai penyiasat dalam satu dokumen 'Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri' yang dikeluarkan pihak hospital," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama