TAWAU: Hasrat menjamu selera di majlis kenduri kahwin bertukar tragedi apabila seorang wanita bersama anak lelakinya meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan, di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini, Sabtu lalu.
Mangsa berusia 36 tahun dan anak sulungnya berumur sembilan tahun itu dilapor mengalami cirit-birit serta muntah sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan ibu saudaranya dan anak maut selepas dipercayai memakan hidangan dari kenduri berkenaan.
“Pengadu memaklumkan kedua-dua mangsa hadir ke kenduri sebelum membawa pulang makanan bungkus untuk suami mangsa.
“Suami mangsa turut mengalami cirit-birit dan muntah sejak pagi Ahad hingga petang Isnin selepas memakan makanan itu,” katanya, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati beberapa tetamu lain yang hadir ke majlis itu turut mengalami simptom sama.
Katanya, punca sebenar kejadian masih disiasat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu polis.
“Pasukan Forensik IPK Sabah turut ke lokasi untuk pemeriksaan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat dan tiada kesan kecederaan dikesan pada tubuh,” katanya.
Beliau berkata, semua barang kes sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis manakala keterangan saksi masih diambil.