KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan dua bentuk siasatan berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang melibatkan aspek inkues bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan jenayah berkaitan perbuatan buli.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata dua bentuk siasatan terbabit akan dilakukan pihaknya secara menyeluruh berdasarkan prosedur undang-undang.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan proses inkues akan memberi tumpuan kepada semua bukti dan maklumat berkaitan bagi menentukan punca kematian.
"Kita telah mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil dan segala maklumat akan dikemukakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Siasatan jenayah pula akan memfokuskan kepada aspek perbuatan buli," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bertempat di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, persoalan bermain di fikiran semua orang adakah apa yang menyebabkan kejadian ini berlaku.
Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya juga telah membuka 15 kertas siasatan berkaitan berita palsu yang boleh menjejaskan proses siasatan kes kematian Zara Qairina.
Menurutnya, semua kertas siasatan terbabit merangkumi pelbagai bentuk maklumat tidak sahih, berkaitan kes berkenaan.
"Pihak polis telah membuka 15 kertas siasatan terhadap macam-macam berita yang tidak sahih, tidak benar, boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga proses siasatan," katanya.
Katanya, antara berita palsu yang disiasat ialah dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh dan tular di laman di media sosial.