![]() |
Hamid (tengah) sewaktu keluar daripada perkarangan Balai Polis, Karamunsing, di sini, hari ini |
Kota Kinabalu: Telefon bimbit milik Noraidah Lambat ibu kepada arwah Zara, telah diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Karamunsing, bagi membantu siasatan kes kematian tragis remaja perempuan itu, di sini, hari ini.
Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Hamid Ismail, berkata telefon berkenaan mengandungi rakaman audio perbualan antara Noraidah dan arwah.
"Penyerahan dibuat secara rasmi sekitar jam 4.00 petang dan disertai wakil NGO yang hadir memberi sokongan moral kepada keluarga," katanya kepada media.
Sebelum ini, pihak polis juga telah menerima pakaian dan barangan peribadi yang dipakai arwah pada malam kejadian.
"Isunya bukan tandatangan atau penolakan, tapi memang langsung tiada post-mortem dilakukan. Itulah sebab kami mohon proses penggalian semula kubur untuk menentukan punca sebenar kematian," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan kepada polis untuk dilengkapkan.
"Kami harap selepas ini siasatan lebih telus dan adil, termasuk permintaan kami agar penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman terlibat," ujarnya.
Hamid turut menggesa orang ramai menghentikan penyebaran spekulasi liar dan teori tidak berasas di media sosial yang hanya memburukkan keadaan.
"Noraidah kini dalam keadaan sangat tertekan. Sebagai ibu yang kehilangan anak, dia perlukan ruang, doa dan sokongan, bukan serangan atau tekanan emosi tambahan," ujarnya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa keluarga bersedia bekerjasama sepenuhnya jika diminta memberikan bukti lain oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini, peguam telah menghantar surat bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Antara kandungan surat itu ialah empat permintaan termasuk pemulangan kertas siasatan kepada polis, yang kini telah dilaksanakan.
Tiga lagi permintaan ialah siasatan oleh penyiasat berpengalaman Bukit Aman, penggalian semula kubur dan permohonan inkues di mahkamah.
Zara, pelajar Tingkatan Satu di SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Insiden itu turut dikaitkan dengan kemungkinan unsur buli, dan sedang disiasat oleh pihak polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini mengesahkan siasatan turut meneliti aspek buli yang dikaitkan dalam kes tersebut.