Kempen Kibar Bendera simbol semangat cintakan negara

 

KENANGAN...Ghulam (depan, tengah) bergambar kenangan bersama para pengunjung yang hadir.

PAPAR : Kempen Kibar Bendera yang dibawa oleh Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) merupakan satu simbol semangat cintakan negara serta melambangkan kesatuan rakyat.

Pejabat Daerah Papar memperhebat Kempen Kibar Bendera menjelang sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025. 

Pegawai Daerah, Muhammad Mohd Ali berkata, Pejabat Daerah Papar tidak ketinggalan untuk memperhebatkan lagi Kempen Kibar Bendera menjelang sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025. 

“Pengibaran bendera dilihat sebagai satu manifestasi semangat patriotik rakyat kerana ianya bukan sekadar hiasan, tetapi lambang kesetiaan dan kebanggaan terhadap tanah air. 

"Oleh itu, sebelum meminta orang awam mengibarkan bendera, kami di pihak Pejabat Daerah terlebih dahulu mengambil langkah awal dengan mengibarkan bendera di bangunan urus setia. 

"Surat edaran juga telah dihantar kepada semua ketua jabatan termasuk sekolah, masjid dan komuniti setempat bagi menggerakkan kempen ini secara menyeluruh," katanya ketika ditemui media selepas program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Daerah Papar di sini, pada Rabu. 

Selain itu, beliau turut memaklumkan perbincangan bersama dewan-dewan perniagaan turut diadakan bagi memastikan semua ahli mereka mengibarkan bendera di kedai dan premis masing-masing.

“Usaha ini perlu digerakkan bersama oleh semua lapisan masyarakat sebab kita mahu lihat bendera berkibar bukan hanya di pekan, tetapi juga di seluruh kampung dan kawasan pentadbiran Papar,” tambahnya.

Beliau menyeru agar lagu-lagu patriotik, termasuk lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini, dimainkan di pusat membeli-belah dan institusi pendidikan bagi menyemarakkan suasana kemerdekaan di seluruh daerah.

Sambutan konvoi KMJG itu dirasmikan oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor yang juga Ketua Konvoi KMJG 2025.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama