![]() |
Chan (dua dari kanan) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Masyarakat diingatkan supaya menegur secara berhemah sekiranya berlaku kesilapan berkaitan protokol penggunaan Jalur Gemilang.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin berkata sekiranya berlaku kesilapan ketika mengibarkan Jalur Gemilang atau bendera negeri, ia wajar ditegur secara berhemah dan bukan diperbesar-besarkan.
“Kesilapan seperti cara memegang bendera atau kedudukan Jalur Gemilang mungkin bukanlah sesuatu yang disengajakan. Sebab itu, teguran mesti dibuat dengan berlandaskan kesopanan dan kesusilaan, salah satu prinsip Rukun Negara.
''Jangan sampai ia dijadikan isu untuk membuli atau mencetuskan ketegangan,” katanya ketika ditemui pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Sekolah Menengah Kian Kok, pada Jumaat.
Beliau menegaskan, sebarang tindakan provokasi yang cuba menimbulkan kebencian atau perpecahan dalam kalangan rakyat tidak boleh diterima.
“Kalau ada pihak cuba provoke sehingga menimbulkan ketidakselesaan masyarakat, kita tidak boleh setuju. Tiada siapa yang mengatasi undang-undang kerana kedaulatan undang-undang adalah prinsip asas dalam negara ini,” jelasnya.
Chan berkata, penghayatan Rukun Negara perlu kembali dipupuk agar rakyat lebih memahami semangat sebenar patriotisme.
“Rukun Negara adalah asas pembentukan negara bangsa. Apa juga latar belakang, kita tetap perlu bersatu membina negara,” ujarnya pada majlis yang dihadiri 1,000 murid sekolah berkenaan.
Beliau menyifatkan pemilihan SM Kian Kok sebagai lokasi persinggahan konvoi amat signifikan kerana penubuhannya pada tahun 1963 adalah sebahagian daripada perjalanan pembinaan negara.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)