![]() |
Peto ketika ditemui media semasa Konvoi KMJG berada di Pasar Inanam. |
KOTA KINABALU: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) turut menjadi wadah mendidik rakyat pentingnya tanggungjawab sosial dan kepekaan terhadap isu semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datu Peto Galim berkata selain menyemarakkan sambutan kemerdekaan, program seumpama ini memberi ruang kepada rakyat untuk memahami peranan mereka dalam menilai maklumat serta mendukung keamanan negara.
“Saya menyeru rakyat Sabah agar bijak menilai segala maklumat yang diterima, dan membiarkan pihak berwajib menjalankan tugas mereka mengikut lunas undang-undang,” katanya semasa ditemui media ketika menyambut ketibaan konvoi KMJG di Pasar Inanam, pada Jumaat.
Peto menegaskan, KMJG bukan sekadar perarakan simbolik tetapi turut membawa mesej penting berkaitan penyatuan, empati dan kesederhanaan dalam bernegara.
“Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah perlu dijadikan ruang untuk kita bersama-sama menyemai semangat tanggungjawab dan memperkukuh kebersamaan rakyat pelbagai kaum di Sabah,” tambahnya.
Pada acara tersebut, Peto turut merasmikan mural hasil kreativiti anggota Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka (KVS) Jabatan Penerangan Sabah yang menghiasi Pasar Am Inanam hasil kerjasama strategik, Nippon Paint Sdn. Bhd.
Peto juga menjemput penduduk hadir ke sambutan kemuncak Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini yang akan berlangsung di hadapan Hotel Promenade pada jam 7 pagi, serta sambutan Hari Sabah di Padang Merdeka pada jam 7 malam hari yang sama.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)