PENAMPANG: Membaca Al-Quran dan membaca surah Al Fath pada setiap hari menjadi amalan utama AlHassan Abdul, 26, yang telah menerima Anugerah Pingat Emas Tuan Yang Terutama Yang di -Pertua Negeri Sabah (TYT), hari ini.
Beliau meraih anugerah terbabit pada Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam Dan Dakwah Sabah (IPDAS) Ke-19, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Pelajar yang mengambil jurusan Diploma Syariah Islamiah itu berkata, beliau sudah menghafaz 30 juzuk Al-Quran disamping memberitahu Surah Al Fath merupakan surah kegemarannya.
“Al-Fath bermaksud pembuka. Jadi, kalau kita mengamalkan surah ini, insya-Allah Allah akan membuka jalan untuk kita menuju ke arah kebaikan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Anugerah terbabit disampaikan Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk *Dr* Mohd Arifin Mohd Arif.
Dalam pada itu, Hassan turut menyatakan rasa syukur dan berbangga kerana menjadi penerima anugerah tersebut.
“Saya berterima kasih kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) kerana mencalonkan saya untuk menerima anugerah ini,” ujarnya.
Pelajar yang berasal dari Penampang ini juga berkongsi bahawa beliau sentiasa menjaga hubungan dengan orang sekeliling, selain menjaga solat lima waktu.
“Jangan lupa juga untuk menjaga hubungan dengan ibu bapa, pendidik (guru) serta rakan-rakan,”ujarnya.
Ditanya tentang cita-cita, anak kelima daripada lapan beradik ini berkata, beliau tidak mempunyai perancangan khusus, tetapi mahu menjadi insan yang memberi manfaat kepada bangsa dan agama.
“Saya cuma ingin menjadi orang yang berguna kepada agama dan bangsa, itu sudah cukup,” tambahnya.
