Dana RM1 bilion tersedia semasa kerajaan sebelum WARISAN, Shafie diberitahu

KOTA KINABALU: Dakwaan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa pentadbirannya ketika menerajui kerajaan negeri pada tahun 2019 berjaya melangsaikan hutang RM1 bilion adalah tidak tepat menurut Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Katanya, dakwaan terbabit disifatkan sebagai bukti pentadbirannya mengurus kewangan kerajaan dengan baik.

"Namun, fakta menunjukkan sebaliknya. Bon yang dimaksudkan ialah Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019) yang diterbitkan pada Disember 2014 semasa pentadbiran Barisan Nasional. 

"Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarat bagi kerajaan negeri untuk menubuhkan Tabung Amanah Khas (Kumpulan Wang Amanah Bagi Bayaran Balik Bon) bagi memastikan bayaran balik hutang bon dapat dibuat sepenuhnya pada kematangan bon. 

"Langkah ini adalah sebagai perlindungan dan mengelakkan daripada pembayaran tersebut menjadi beban besar kepada kewangan negeri.

"Berdasarkan terma bon tersebut, kerajaan negeri dikehendaki mencarum RM200 juta setiap tahun ke dalam Tabung Amanah Khas ini selama lima tahun, sehingga tahun 2019," katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan menjelang pentadbiran Parti Warisan (WARISAN) mengambil alih pada tahun 2018, sebahagian besar dana yang diperlukan untuk bayaran balik telah pun tersedia. 

"Malah, pada tahun berikutnya terdapat RM1 bilion dalam Tabung Amanah Khas, yang membolehkan Kerajaan Negeri membuat bayaran penuh secara sekali gus (bullet payment) bagi menyelesaikan hutang bon tersebut.

"Oleh itu, adalah tidak tepat untuk beliau mengatakan bahawa bayaran ini adalah hasil daripada tindakan kerajaan WARISAN. 

"Pembayaran ini adalah hasil daripada perancangan kewangan berhemah yang telah dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu beberapa tahun sebelum bon tersebut matang," katanya.

Masidi juga memberitahu beliau sendiri telah menjelaskan perkara ini dalam ucapan penggulungan saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan bulan Julai tahun lalu.

"Kerajaan kini komited untuk memastikan rakyat diberikan maklumat yang jelas dan tepat mengenai kewangan negeri, dan tidak akan membiarkan kenyataan yang mengelirukan dibiarkan tanpa penjelasan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama