KOTA KINABALU: Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah dilantik sebagai Pengarah SPRM Sabah baharu yang berkuat kuasa pada 15 Ogos ini.
Pelantikan terbabit adalah bagi menggantikan pengarah sebelum ini, Datuk Karunanithy Y Subbiah yang bakal bertugas ke Pulau Pinang
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, usaha kerajaan negeri Sabah mengekang ketirisan akan memberi impak besar kepada semua pihak.
"Halatuju di negeri ini bukan hanya mencegah rasuah tetapi bagaimana membantu kerajaan negeri mengekang ketirisan supaya usaha ini berpanjangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Sabah di Auditorium Blok A, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, hari ini.
Ahmad Khusairi berkata, Karunanithy memainkan peranan besar dalam membina keyakinan rakyat terhadap SPRM dan berjaya memimpin beberapa operasi penting sepanjang lima tahun 11 bulan bertugas di Sabah.
"Beliau mempunyai komitmen luar biasa dengan kepimpinan tegas dan strategik yang membantu SPRM Sabah menghadapi pelbagai cabaran besar," katanya.
Pelantikan Mohd Fuad yang juga anak kelahiran Sabah diyakini mampu memperkukuh agenda pencegahan rasuah secara agresif dan berstrategi.
Sementara itu, Karunanithy dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan semua pihak termasuk rakan media yang sentiasa memberi kerjasama terhadap operasi dan pencegahan rasuah.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong kerana sentiasa menyokong inisiatif yang dilaksanakan," katanya.
Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Mayor DBKK, Datuk Sabin Samitah.