3,293 KIR terkesan banjir terima bantuan wang ihsan di Penampang

Ewon(tengah) ketika menyampaikan bantuan Wang Ihsan kepada KIR yang terkesan banjir pada Jun tahun lepas. 
 

PENAMPANG: Seramai 3,293 ketua isi rumah, di sini yang terkesan akibat banjir pada 30 Jun dan 1 Julai tahun tahun lepas menerima bantuan Wang Ihsan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 138 ketua isi rumah telah menerima bantuan tersebut pada tahun lepas.

“Bantuan ini mungkin tidak mampu menggantikan trauma yang dialami serta kerosakan yang berlaku, namun ia mencerminkan komitmen dan keprihatinan kerajaan bersama para pemimpin, anggota pentadbiran serta pelbagai jabatan dan agensi pengurusan bencana di Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kepada KIR Mangsa Banjir Di Daerah Penampang bertempat di Dewan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) di sini, pada Rabu. 

Hadir sama, Setiausaha Sulit Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan merangkap Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Datuk Jannie Lasimbang. 

Selain itu, Ewon turut menyatakan bahawa projek tebatan banjir Pakej 1 dan 3 sedang dilaksanakan.

“Projek tebatan banjir itu bermula dari Penampang hingga ke Putatan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya melaksanakan langkah baharu untuk meningkatkan persiapan bagi menghadapi banjir dengan mewartakan 21 pusat pemindahan sementara (PPS) dan memasang enam siren amaran awal di sekitar Sungai Moyog. 

Katanya, inisiatif itu bagi memastikan penduduk dapat berpindah lebih awal sekiranya paras sungai meningkat terutamanya ketika hujan lebat.

“Siren ini telah dipasang di Kampung Kedundungan, Kampung Nambazan, Kampung Penampang Proper, Kampung Putaton, Kampung Kolopis dan Kampung Sugud,” tambahnya. 



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama