Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan di Lahad Datu

 

LAHAD DATU – Seorang wanita disahkan maut manakala dua lelaki cedera selepas sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki mereka terbabas di bulatan depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, di sini pagi tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 pagi. Seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah unit EMRS ke lokasi dengan jarak sejauh 2 kilometer.

“Didapati sebuah kenderaan terbabas di tepi jalan. Dua mangsa lelaki berusia 28 dan 31 tahun berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba. Seorang mangsa perempuan berusia 19 tahun, tersepit di bahagian penumpang dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas Rescue Tool Application (RTA) jenis Telescopic Ram. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, manakala dua mangsa lelaki yang cedera dibawa ke Hospital Lahad Datu dengan ambulans KKM untuk rawatan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.48 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada risiko lain di lokasi kejadian.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama