![]() |
RUMAH...Ruslan menyampaikan replika kunci Rumah SMJ diiringi Nazri (kiri), Azizah dan Isnin (kanan). |
BEAUFORT: Kerajaan Sabah menyerahkan geran tanah kepada 572 penduduk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Lumadan melibatkan lebih kurang 1,500 ekar.
Majlis penyerahannya disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Dewan Pak Musa dekat sini, pada Rabu.
Dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Ruslan, Hajiji berkata, pemberian geran tanah di daerah terbabit membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat di luar bandar menikmati kesejahteraan dan jaminan hak milik tanah.
"Sesungguhnya, majlis pada hari ini adalah bukti kesungguhan dan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembelaan kepada rakyat di peringkat akar umbi sentiasa diberikan perhatian. Untuk itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) terus komited dan memberi keutamaan permohonan tanah rakyat. Sebagai kerajaan yang prihatin, kita mahu melihat hidup rakyat kita sentiasa terjamin," ujar beliau.
Menurut Hajiji, pemberian geran tanah ini juga adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan hak-hak rakyat, khususnya dalam aspek pemilikan tanah dapat dipenuhi dengan adil dan saksama.
"Geran tanah yang diserahkan pada hari ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkasakan rakyat dalam memiliki tanah yang bukan sahaja sebagai tempat berteduh, tetapi sebagai aset yang boleh meningkatkan taraf hidup dan memberi peluang kepada pembangunan ekonomi peribadi dan komuniti," jelasnya.
Melalui pemilikan tanah, kata beliau, para penerima dapat menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi, seperti pertanian, pelancongan, dan perniagaan yang secara langsung memberi impak positif kepada keluarga dan masyarakat setempat.
"Inilah cara kita membantu rakyat di negeri ini, termasuklah di Daerah Beaufort dan agenda pembangunan yang berteraskan kebajikan rakyat ini akan terus kita perjuangkan dalam semua inisiatif pembangunan yang dilaksanakan selepas ini.
"Walau bagaimanapun, saya ingin menyeru kepada semua penerima geran tanah pada hari ini mahupun yang bakal menerima geran tanah pada masa akan datang supaya mengusahakan sebaik mungkin tanah-tanah yang diberikan agar ia boleh memberikan hasil terbaik kepada keluarga masing-masing dan paling penting boleh diwarisi oleh anak cucu pada masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah, Majlis Pelancaran Pelan Strategik Daerah Beaufort 2025 - 2035 dan Majlis Pecah Tanah Beaufort City Mall.
Mengenai Pelan Strategik Pembangunan Daerah Beaufort 2025-2035 Hajiji mendedahkan pelan inklusif yang diterajui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan semua agensi yang terlibat bakal menjadi panduan utama perancangan pembangunan di Daerah Beaufort untuk tempoh 10 tahun akan datang.
"Dengan pembangunan pesat dan lokasi yang strategik, Daerah Beaufort berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pertumbuhan dan perkhidmatan pedalaman, berfungsi sebagai pusat pentadbiran serta pusat perniagaan utama yang dilengkapi kemudahan dan fasiliti berkualiti tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan penduduk ke Kota Kinabalu bagi urusan pentadbiran," kata beliau.
Sementara itu, Hajiji turut menyifatkan pembangunan Beaufort City Mall dengan empat fasa merupakan satu langkah yang amat besar, bukan sahaja bagi pembangunan fizikal, tetapi juga bagi memperkukuhkan ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Beliau percaya, Beaufort City Mall akan menjadi pusat komersial yang menawarkan ruang perniagaan, pusat hiburan serta kemudahan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dari aspek ekonomi dan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.
Ruslan yang diiringi Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih, Pengerusi IDS Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun turut menyerahkan replika kunci Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada 10 penerima.
Dalam majlis berasingan, Ruslan bersama-sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Beaufort City Mall di tapak seluas 27 ekar dengan dua fasa bernilai melebihi RM230 juta dan mensasarkan projek itu siap sepenuhnya sebelum tahun 2030.
"Ini merupakan satu lagi mercu pembangunan yang ada di daerah Beaufort yang akan menambahkan peningkatan ekonomi. Dengan kos melebihi RM230 juta dengan dua fasa, fasa pertama pembinaan kedai dan kedua shopping mall. Fasa pertama akan siap dalam tahun 2027 dan keseluruhan projek akan siap sebelum tahun 2030.
"Sekurang-kurangnya, penduduk kita tidak perlu datang ke Kota Kinabalu untuk berbelanja. Ini akan menjadi tarikan kepada masyarakat, mungkin dari Sarawak dan Brunei Darussalam," tambahnya.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)