KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, menggesa kontraktor yang mengendalikan projek pembinaan flyover Tebobon, Sepanggar agar segera memperbaiki pelan pengurusan trafik di kawasan itu.
Beliau berkata demikian susulan daripada rungutan berterusan penduduk dan pengguna jalan raya menunjukkan keadaan itu bukan sahaja menimbulkan kesesakan hampir sepanjang hari, malah meningkatkan risiko kemalangan termasuk di kawasan pernah berlaku insiden maut.
“Pusingan U terlalu jauh dan tidak sistematik, papan tanda pula tidak jelas hingga membingungkan pengguna.
“Kawasan ini juga melibatkan empat sekolah serta perkampungan dan perumahan padat, sekali gus membahayakan pengguna dan melambatkan urusan harian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Razali turut menyatakan bahawa punca utama kesesakan bukan sekadar pembinaan flyover, tetapi juga kelewatan kerja penurapan jalan di kawasan Bandar Sierra yang menyebabkan lorong jalan menjadi sempit.
Menurutnya, kontraktor sepatutnya menyediakan pelan kontinjensi sebelum memulakan projek dan memastikan pelaksanaannya dipantau dengan kerap agar penduduk tidak menanggung kesusahan setiap hari.
“Kalau di Kuala Lumpur, projek mega pun boleh mengatur sistem pengurusan trafik dengan baik, mengapa kita di Kota Kinabalu tidak mampu? Ini bukan soal teknikal semata-mata, tetapi soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Razali turut menambah bahawa kontraktor dan pihak konsesi perlu segera menyemak semula pelan pengurusan trafik dengan lebih baik bagi mengatasi kelemahan sedia ada.
“Infrastruktur seharusnya memudahkan rakyat, bukan menyusahkan. Masa yang hilang, minyak yang terbazir dan tekanan emosi pengguna jalan raya adalah ketidakadilan sosial yang tidak boleh dibiarkan,” tambahnya.