![]() |
13 remaja didapati bersalah membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dalam kejadian pada Mac tahun lalu. |
TAWAU : Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun bersalah membunuh pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dalam kejadian pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol dalam ringkasan alasan penghakimannya berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah dan kesemua tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, penilaian keseluruhan bukti menunjukkan 13 tertuduh bertindak secara bersama dengan niat bersama hingga menyebabkan kematian mangsa.
"Persoalan utama bukanlah sama ada tertuduh mempunyai niat khusus untuk membunuh, tetapi sama ada kecederaan yang dengan sengaja dilakukan itu dalam keadaan biasa sudah memadai untuk mengakibatkan kematian.
"Berdasarkan keterangan perubatan, kecederaan tersebut terbukti membawa maut," katanya.
Mahakamah turut mendapati segala bentuk pembelaan tertuduh, sama ada penafian, alibi, pengakuan separa mahupun menuding jari kepada pelajar lain, diketepikan mahkamah kerana bercanggah dengan keterangan saksi bebas.
Menurut Duncan, hujah bahawa tertuduh hanya mahu ‘mengajar’ mangsa juga tidak berasas berikutan kecederaan yang dialami terlalu parah, manakala alasan provokasi tidak terpakai kerana serangan dilakukan secara berlarutan.
Beliau turut menolak hujahan bahawa mangsa mungkin terselamat jika mendapat rawatan segera kerana keterangan pakar hanya menyatakan ia satu kemungkinan dan bukan kepastian.
Mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk prosiding hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat selaras peruntukan Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pasukan pendakwaan dibarisi Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao, dan Batrisyia Mohd Khusri.
Sementara lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala lima tertuduh lagi diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pada 15 April lalu, pasukan pembelaan menutup kes selepas memanggil 18 saksi pada perbicaraan peringkat bela diri dengan kesemua 13 remaja terbabit memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.