KOTA KINABALU: Peguam, Datuk Ram Singh, menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada pihak terus menyebarkan dakwaan palsu yang mencemarkan reputasinya sebagai seorang profesional.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan tercetus susulan penyebaran sekeping gambar di media sosial yang cuba mengaitkan dirinya dengan prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak.
“Saya menggesa orang ramai supaya tidak melayan sindiran tidak berasas ini.
"Jika pemalsuan itu berterusan, saya akan mengambil semua tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi nama baik dan kedudukan profesional saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tuduhan yang digambarkan menerusi foto berkenaan adalah palsu, berniat jahat dan dilakukan semata-mata untuk merosakkan integriti dirinya.
“Saya ingin menegaskan secara mutlak bahawa dakwaan itu tidak benar, berniat jahat dan jelas bertujuan mencemarkan nama baik saya.
“Saya melaksanakan tugas mengikut piawaian etika tertinggi profesion undang-undang dan peraturan tata laku profesional.
"Sebagai pegawai mahkamah, tanggungjawab saya adalah menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau berpihak,” katanya.
Ram Singh turut menegaskan beliau tidak pernah menerima, meminta atau dipengaruhi mana-mana pihak termasuk berkaitan politik, apatah lagi menerima sebarang pertimbangan tidak wajar untuk mempengaruhi dirinya.