KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang dari Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan agar Jabatan Alam Sekitar (NERS) menukar nama bunga terbesar di Malaysia, iaitu Rafflesia.
Katanya, nama bunga tersebut perlu ditukarkan kepada nama yang lebih sesuai dan tidak perlu dikaitkan dengan tokoh penjajah, Stamford Raffles.
“Rafflesia ini nama yang diambil sebenarnya nama Stamford Raffles, penjajah kita. Orang yang tidak berakhlak dan tidak beretika, kita perlu bagi nama lebih baik pada bunga kita,” katanya.
Beliau mencelah ketika sesi penggulungan Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau turut menyatakan agar nama baharu dicari boleh menggunakan nama tokoh Malaysia sendiri.
“Mungkin Yang Amat Berhormat Menteri boleh cadangkan kepada kabinet, carilah nama lain lebih cantik, nama Anwar Ibrahim pun tidak apa. Tidak ada masalah, asalkan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak wajar terus hidup dalam bayangan nama penjajah itu.
“Kita sudah hidup di bawah bayang-bayang nama beliau selama 68 tahun. Jadi, saya mohon menteri maklumkan,” tambahnya.
Sementara itu, Johari turut berkata bahawa pihaknya mengambil maklum dengan cadangan tersebut.
“Terima kasih, saya ambil maklum ya. Kalau ada nama lain, boleh cadangkan,” ujarnya.