DAP Sabah sokong penuh arahan AGC teruskan siasatan kematian Zara Qairina

 

KOTA KINABALU: DAP Sabah menyokong penuh kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan berhubung kematian pelajar yang dikaitkan dengan insiden buli, Zara Qairina Mahathir.

Ia termasuk melakukan penggalian semula jenazah bagi tujuan bedah siasat yang lebih menyeluruh.

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata langkah terbabit penting bagi memastikan siasatan dijalankan dengan teliti, menyeluruh, dan berlandaskan prinsip ketelusan serta integriti. 

"Rakyat berhak mengetahui kebenaran sebenar, dan keluarga mendiang layak mendapatkan jawapan yang jelas serta keadilan yang sewajarnya.

"Saya berdiri teguh bersama rakyat Sabah  khususnya mereka yang dengan berani berhimpun dan berdemonstrasi di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, dan banyak lagi tempat lain untuk menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap keluarga Arwah Zara Qairina," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya berharap agar semua pihak memberi kerjasama penuh supaya siasatan dapat dijalankan berlandaskan fakta.

"Diharapkan hasil siasatan diumumkan dalam kadar segera bagi mengelakkan spekulasi yang tidak benar," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama