Sambutan Hari Sabah 2025 bawa tema ‘Untukmu Sabah Tanah Airku’, pupuk semangat cinta negeri – Jeffrey

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah 2025 yang bertemakan “Untukmu Sabah Tanah Airku”disifatkan sebagai mesej yang membawa setiap usaha, perjuangan dan perubahan yang dilakukan rakyat di negeri ini adalah demi tanah air tercinta. 

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. kitingan berkata, tema itu menyeru rakyat untuk tidak melihat Sabah hanya sebagai tempat tinggal.

Katanya, rakyat juga perlu menganggap negeri ini sebagai tanah air yang perlu dipelihara, diperkasakan dan dimajukan bersama.

“Tema ini mengingatkan kita bahawa cinta kepada Sabah harus diterjemahkan melalui tindakan nyata dalam pembangunan, perpaduan rakyat serta kelestarian generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Forum Perdana Sambutan Hari Sabah yang bertempat di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.

Forum tersebut turut menampilkan tiga barisan panel iaitu Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Danny Wong Tze Ken, Ketua Pegawai Eksekutuf  Institute for Development Studies Sabah (IDS), Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul serta Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Mohd Sohaimi Esa. 

Jeffrey turut menegaskan bahawa Hari Sabah bukan sahaja simbol perpaduan rakyat, tetapi juga hari kelahiran Sabah sebagai sebuah negara sebelum bergabung dalam Malaysia pada 16 September 1963.

“Hari Sabah ini penting kerana ia mengingatkan kita kepada detik bersejarah apabila Sabah diisytiharkan merdeka. Dari titik inilah bermulanya perjalanan kita sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” ujarnya.

Menurut Jeffrey, forum dan sambutan Hari Sabah wajar diteruskan setiap tahun kerana ia bukan sekadar medan ilmu, tetapi juga mampu menyemai semangat patriotisme terutama dalam kalangan generasi muda.

“Melalui forum sebegini, kita dapat memperluaskan lagi pengetahuan serta pemahaman mengenai sejarah Hari Sabah dan negara kita,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama