KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Belakang Kem Lok Kawi, Jalan Putatan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.08 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan Mitsubishi Triton.
Menurut Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi, sebaik pasukan tiba di lokasi, didapati pemandu Perodua Alza tersepit di tempat duduk.
“Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan KKM. Dua lagi penumpang kenderaan sama mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu Mitsubishi Triton yang cedera parah turut dikeluarkan bomba sebelum diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bersama dua lagi mangsa.
Seramai lapan anggota termasuk dari BBP Putatan dengan bantuan BBP Penampang digerakkan ke lokasi bersama dua jentera.
“Pasukan bomba turut melakukan kerja pembersihan di kawasan kemalangan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.40 pagi,” katanya.