![]() |
Shafie (tengah) sewaktu sidang media di ibu pejabat Warisan di Kota Kinabalu, di sini, hari ini. |
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan partinya mampu menawarkan pentadbiran lebih baik berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika diberi peluang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, rakyat Sabah sudah merasai kepincangan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini, khususnya dari segi pengurusan ekonomi, peluang pekerjaan serta penyampaian bantuan yang tidak menyeluruh.
“Kami yakin Warisan boleh buat lebih baik daripada apa yang GRS lakukan hari ini. Apa yang rakyat mahukan adalah sebuah kerajaan yang benar-benar peduli, bukan sekadar slogan.
“Rakyat Sabah perlukan kerajaan yang mampu mengurus hasil negeri dengan adil, memberikan peluang sama rata kepada semua dan memastikan suara rakyat benar-benar didengari,” katanya.
Shafie berkata demikian dalam sidang media khas di ibu pejabat Warisan di Kota Kinabalu, hari ini.
Katanya, pengalaman Warisan memimpin sebelum ini membuktikan mereka lebih serius dalam memperjuangkan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain menumpukan aspek pembangunan pendidikan dan infrastruktur luar bandar.
Tambah beliau, parti itu akan terus mengetengahkan agenda ekonomi rakyat, khususnya peluang pekerjaan untuk golongan muda serta penambahbaikan sektor pertanian dan perikanan sebagai sumber pendapatan negeri.
“Sabah tidak boleh terus ketinggalan. Kita mesti berani berubah dan memilih kepimpinan yang benar-benar bekerja untuk rakyat,” tegasnya.