![]() |
Tan (tengah) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah kepada Sabah-China Expo 2025 yang dijadual berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada November ini.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan China Sabah (SCCC) Ir. Ts. Tan Kok Jyh merangkap Setiausaha Agung berkata, penganjuran ekspo itu merupakan antara inisiatif untuk menarik pelabur dan pengusaha dari China serta tempatan bagi memperkukuh sektor perniagaan di negeri ini.
“Melalui ekspo ini, kita berharap dapat menarik lebih ramai pelabur dan pengusaha, sama ada dari China mahupun tempatan untuk menyertai sesi padanan perniagaan (business matching) bagi memajukan pelbagai sektor seperti pertanian, pelancongan dan lain-lain.
“Persiapan bagi penganjuran ekspo telah pun dijalankan dan setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Menurut Tan, SCCC turut merancang membawa rombongan usahawan dari Sabah ke China pada September ini bagi membolehkan mereka meninjau sendiri peluang pasaran dan jaringan perniagaan di negara berkenaan.
“Kami berharap pengusaha tempatan dapat meluaskan perniagaan ke peringkat global, bukan sahaja ke China tetapi juga ke seluruh rantau ASEAN.
“Kami juga mahu merangsang sektor pertanian dan mengukuhkan hubungan perdagangan dengan China memandangkan pasaran di sana amat besar,” jelasnya.
Mengenai kunjungan hormat itu, Tan berkata ia bertujuan memaklumkan kepada Tun Musa mengenai perkembangan SCCC sejak penubuhannya pada 2019 serta menjemput beliau merasmikan ekspo berkenaan pada November nanti.
Hadir sama Presiden SCCC, Datuk Frankie C. K. Liew dan Timbalan Presiden, Datuk Jonathan Koh.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)