![]() |
Masidi ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU : Dianggarkan sebanyak 140 kontinjen perbarisan bakal memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025.
Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kontinjen-kontinjen berkenaan adalah terdiri daripada agensi kerajaan, sekolah, pertubuhan sukarela serta pasukan beruniform.
"Istimewanya pada tahun ini adalah buat julung kalinya, sambutan ini akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan ini menjadikan sambutan lebih bermakna.
"Kedatangan Tun Musa dijangka pada jam 7.30 pagi maka kita andaikan bahawa acara-acara rasmi akan diadakan di antara 7.30 pagi hingga 10.30 pagi.
"Kita juga menjangkakan kehadiran orang ramai, sama juga seperti tahun lepas di mana tempat-tempat yang strategik sepanjang jalan perarakan itu berlalu akan dipenuhi lebih awal.
"Oleh itu, saya mengharapkan semua rakyat Sabah akan sama-sama turun untuk meraikan dan hadir dalam acara sambutan pada 31 Ogos di Jalan Tun Fuad Stephens bagi membuktikan rasa cinta dan sayang kita kepada negara kita dan juga kepada Sabah," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Dalam pada itu, Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 berkata, tema sambutan tahun ini iaitu Malaysia Madani Rakyat Disantuni cukup sinonim khususnya kepada pemimpin.
"Tema ini cukup sinonim khususnya seruan kepada pemimpin-pemimpin, kepada mereka yang diamanahkan dengan kedudukan tertentu untuk sentiasa turun padang menyantuni rakyat.
"Jadi, tema ini adalah seruan kepada pemimpin untuk turun padang, santuni rakyat dan nampakkan kehadiran pemimpin, orang-orang yang mereka harapkan menjadi sandaran kepada merealisasikan impian mereka," tambahnya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai tanda cinta dan sayang kepada negara Malaysia dan negeri Sabah.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tan Lee Fatt dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)