![]() |
Hajiji (dua kanan) ketika gimik perasmian program. |
TAMBUNAN : Sabah menerajui pemuliharaan hutan hujan tropika dengan pewartaan lebih 94.5 peratus kawasan konservasi di bawah Kumpulan Yayasan Sabah sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata seluas 199,146 hektar daripada keseluruhan 210,725.6 hektar kawasan konservasi kini berada di bawah perlindungan sepenuhnya.
“Kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum, Banjaran Maliau, Imbak Canyon, Sungai Taliwas dan Pantai Silam, yang diiktiraf sebagai rujukan saintifik bertaraf dunia, menjadi contoh komitmen Kumpulan Yayasan Sabah dalam memelihara alam sekitar semula jadi Sabah.
“Usaha pemuliharaan ini bukan sahaja tentang melindungi alam, tetapi juga mengukuhkan identiti Sabah sebagai sebuah negeri yang menghormati warisan semula jadinya untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan program Jereyawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) Peringkat Zon Pedalaman Utara, pada Khamis.
Hajiji berkata, YSBR 2025 merupakan kesinambungan usaha membawa agensi, peluang dan perkhidmatan terus kepada rakyat agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
''Menerusi bantuan pendidikan Yayasan Sabah, ramai anak-anak Sabah berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan dan menjadi profesional serta pemimpin.
''Institusi pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) telah menjadi platform utama dalam melahirkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
''Kerajaan Negeri juga melalui Kumpulan Yayasan Sabah telah memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya golongan B40.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa tiada seorang pun anak Sabah akan tercicir dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi hanya kerana kekangan kewangan," jelasnya.
Sejak diperkenalkan pada 2022, sebanyak RM17.8 juta telah dibelanjakan bagi TPNS, memberi manfaat kepada 10,912 pelajar.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sri Gulamhaidar @ Yusuf Khan Bahadar.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)