JAPEN Sabah agih Jalur Gemilang, Bendera Sabah ke 200 premis ITCC

 

Antara Edaran Bahan Penerbitan yang di agihkan pada Program berkenaan.

PENAMPANG:  Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Sabah melalui Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) hari ini melaksanakan program pengagihan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada 200 premis perniagaan sekitar International Technology and Commercial Centre (ITCC) Penampang.

Pengurus Besar Kumpulan  ITCC, Benjamin Malakun berkata inisiatif tersebut sejajar dengan usaha kerajaan memperluas penyertaan masyarakat dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, selain memupuk semangat cintakan negara serta negeri.

“Mesej yang ingin kami sampaikan adalah semangat cinta negara dan semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Inisiatif ini selari dengan usaha kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Sabah, dan kami berhasrat meneruskannya setiap tahun sebagaimana sebelum ini.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kami menggalakkan setiap kedai di ITCC untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah sejak awal Ogos. Rata-rata peniaga dan pemilik gerai memberi sokongan penuh terhadap usaha ini,”katanya.

Beliau turut berharap agar warga Sabah dan seluruh rakyat Malaysia terus menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Inisiatif itu turut disambut baik para peniaga yang berpandangan langkah berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan negara, malah mampu menarik lebih ramai pengunjung ke ITCC Penampang sepanjang bulan kemerdekaan.

Sebanyak 200 Jalur Gemilang dan Bendera Sabah diagihkan menerusi program berkenaan yang dianjurkan JAPEN Sabah dengan kerjasama pengurusan ITCC Penampang. Program itu turut menarik kehadiran ratusan pengunjung, sekali gus menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di bawah inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) serta memperkukuh perpaduan masyarakat.

Turut hadir pada program tersebut, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian PKPM Peter Tong Ah Pin, KPP Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Diana Dominic, KPP Bahagian Media Siber Geraldine Voo Yee Wen, KPP Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Sulia Banying Gihang, KPP Bahagian Penerbitan Dasar Negara Norehan Kipli serta KPP Unit Keurusetiaan, Siti Mariam Aziz Rashid.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama