Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional LD, seorang dipenjara seumur hidup, 12 dipenjara sehingga diampun TYT

Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan keatas seorang daripada bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu manakala 12 yang lain diperintah menjalani hukuman penjara selama tempoh diperkenan TYT atas kesalahan membunuh rakan sekolej mereka Mohamad Nazmie Aizzat, 17, Mac tahun lalu.

TAWAU : Seorang bekas pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan sekolejnya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.

Manakala 12 tertuduh lain yang masih di bawah umur turut dijatuhi hukuman penjara selama tempoh diperkenankan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu pada prosiding penetapan hukuman hari ini, bermula tepat jam 9.25 pagi yang dimulakan dengan sesi pendengaran laporan akhlak oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat membabitkan kesemua tertuduh yang mengambil masa hampir dua jam.

Dalam keputusannya, mahkamah menegaskan bahawa meskipun pihak pendakwaan memohon hukuman mati terhadap tertuduh yang kini berusia 20 tahun, namun pertimbangan diberikan kepada faktor usia serta peluang untuk pemulihan, justeru hukuman penjara seumur hidup diputuskan sebagai lebih wajar.

"Oleh itu, setelah meneliti rayuan mitigasi yang dikemukakan oleh peguam bela bagi setiap tertuduh, laporan akhlak yang dibentangkan berhubung semua pesalah kanak-kanak, hujahan pihak Timbalan Pendakwa Raya yang menggesa Mahkamah menjatuhkan hukuman berat termasuk hukuman mati serta setelah menimbang keseriusan kesalahan, umur para tertuduh, potensi mereka untuk dipulihkan, dan kepentingan awam mahkamah berpuas hati bahawa hukuman pemenjaraan maksimum adalah wajar. 

"Berhubung dengan 12 pesalah kanak-kanak, saya memerintahkan mereka ditahan di penjara sepanjang diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri, selaras dengan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, hakim menegaskan bahawa perbuatan buli di sekolah bukanlah perkara baharu, namun kini ia telah sampai ke tahap meragut nyawa. 

Tambahnya lagi, kes ini menjadi contoh dan peringatan penting bahawa perbuatan buli memusnahkan kehidupan, meragut masa depan anak-anak dan menghancurkan harapan ibu bapa.

"bu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan untuk mendapat pendidikan dan masa depan yang cerah, tetapi ada yang pulang dalam keadaan trauma, malah ada yang tidak kembali sama sekali. 

"Keadaan ini, mesti dihentikan kerana tiada kanak-kanak seharusnya merasa tidak selamat di sekolah atau asrama, dan tiada keluarga wajar menanggung tragedi sebegini.

"Hukuman yang dijatuhkan mesti menjadi hukuman setimpal serta amaran keras bahawa mahkamah akan bertindak tegas dan tidak akan bertolak ansur terhadap kekejaman sebegini," katanya.

Media pada 22 Ogos lalu melaporkan kesemua tertuduh didapati bersalah dan disabitkan mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mereka dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif bersama TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri. 

Sementara lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala lima tertuduh lagi diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama