Sabah sambut baik arahan AGC lanjut kes Zara Qairina


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyambut baik kenyataan terkini Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengeluarkan arahan lanjut berhubung kes kematian kanak-kanak, Zara Qairina.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan kes berkenaan mendapat perhatian serius bukan sahaja di Sabah, malah di seluruh negara termasuk negara jiran.

“Kes ini jelas menyentuh perasaan rakyat dan keadilan untuk adik Zara adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan.

“Kita meletakkan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh agar keadilan dapat ditegakkan buat Zara dan keluarganya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji turut menyeru semua pihak agar bertenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi serta memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

Beliau berkata, Sabah percaya pihak berkuasa akan memastikan setiap langkah diambil dengan penuh integriti bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan pada Jumaat mengarahkan agar kubur Zara Qairina digali semula untuk proses bedah siasat dijalankan.

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama