Sabah cerminan keharmonian Malaysia sebenar- Razali

Razali (kanan) ketika mengagihkan jalur gemilang kepada penduduk Darau.

KOTA KINABALU: Kepelbagaian kaum dan bangsa di Sabah merupakan cerminan sebenar keharmonian Malaysia kerana masyarakatnya hidup dengan penuh hormat serta harmoni, menurut Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Razali Razi. 

Menurut beliau, meskipun slogan “No Justice, No Merdeka” dan kontroversi pemasangan bendera terbalik hangat diperkatakan di Semenanjung, rakyat Sabah perlu terus berpegang kepada semangat perpaduan dan kebersamaan.

“Kita faham ada isu-isu panas yang dibincangkan masyarakat, tetapi jangan sampai kita lupa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Bulan kebangsaan ini perlu diraikan dengan penuh makna,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program pengagihan jalur gemilang sempena bulan kemerdekaan Gagasan Rakyat Darau dan Karambunai di Pekan Menggatal, di sini, hari ini. 

Beliau menegaskan, sambutan Hari Kebangsaan tidak seharusnya dipesongkan dengan isu yang boleh membawa perpecahan, sebaliknya dijadikan wadah untuk mengukuhkan nilai patriotisme.

“Sabahan is a true Malaysian. Kita meraikan kepelbagaian dan fokus kepada keharmonian. Itulah kekuatan sebenar kita,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama