LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Filipina berusia 58 tahun ditahan polis bersama syabu seberat 58.37 gram bernilai lebih RM6,400 dalam serbuan di Kampung Puyut, Jalan Pantai, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin HJ Ismail berkata, serbuan dijalankan menerusi Op Tapis selepas pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui 13 paket plastik berisi hablur jernih dipercayai syabu selain pelbagai peralatan untuk aktiviti pengedaran dadah.
“Sebuah bot berwarna hijau bersama enjin sangkut turut disita kerana dipercayai digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“PDRM, khususnya IPD Lahad Datu, komited membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.