![]() |
Gambar ihsan Bomba |
KUDAT: Tiga premis termasuk dua rumah separuh kekal dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Perpaduan, Jalan Gumpa, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40x50 kaki persegi musnah sepenuhnya, manakala kedai runcit terbakar 70 peratus dan sebuah lagi rumah separuh kekal berkeluasan 20x40 kaki persegi rosak 20 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Mohd Saidi Tabin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang sebelum sepasukan anggota bersama tiga jentera digegaskan ke lokasi.
"Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran 200 kaki, satu dividing breeching dan tiga pancutan kaedah ‘offensive’ dengan bantuan sumber air relay pumping daripada jentera PBS Kampung Air," katanya.
Beliau berkata, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat terbabit dalam operasi itu dengan dibantu 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran berkenaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.40 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.20 malam," ujarnya lagi.