KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan untuk mengatasi isu kos sara hidup dan memperkukuhkan rantaian bekalan makanan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata bagi agenda menangani isu kos sara hidup melibatkan dua kerangka strategi utama.
"Bukan sahaja kita perlu melihat kepada persoalan peningkatan ‘kos’ iaitu kestabilan harga dan kadar inflasi, tetapi juga melihat kepada soal meningkatkan keupayaan ‘sara hidup’ itu sendiri melalui penambahan bantuan dan penjanaan pendapatan rakyat.
"Aspek kos iaitu kestabilan harga dan kadar inflasi akan bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan dalam pasaran.
"Sehubungan itu, antara pendekatan yang akan dilaksanakan adalah mewujudkan persaingan yang sihat dan membanteras manipulasi dalam pasaran khususnya barangan keperluan harian pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Rancangkan Madani anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Armizan, pihaknya juga akan membangunkan Sistem Repositori Harga dan Bekalan Makanan dalam tempoh lima tahun bagi memperkukuh rantaian bekalan negara.
Katanya, sistem tersebut akan mengumpul data harga dan bekalan bermula dari pengeluar hingga ke peruncit, membolehkan kerajaan memantau pergerakan harga serta mengesan sebarang pencatutan atau manipulasi oleh pihak tertentu.
“Dengan adanya data lengkap ini, penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan serta Akta Persaingan dapat diperkukuh.
“Jadi kita kena memastikan adanya interaksi dan juga persaingan yang sehat dalam pasaran dan tidak ada unsur-unsur manipulasi yang akan menyebabkan pergerakan harga drastik kepada rakyat kita,” jelasnya.