TONGOD: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menolak saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Barisan Nasional (BN) turut membentuk kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Katanya, saranan tersebut disifatkan bakal mengelirukan pengundi.
"Tidak mungkin persefahaman itu dapat dicapai kerana ia akan mengelirukan pengundi.
"Lagipun GRS dan PH sudah pun terlebih dahulu mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama politik.
"Bagaimanapun, jika kerjasama tiga gabungan parti itu berlaku, kami berpegang pada kenyataan Perdana Menteri pada 11 Mei lalu di Tawau supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai rundingan pembahagian kerusi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sebagai reaksi terhadap kenyataan Anwar berhubung cadangan terbabit, semalam.
Dilaporkan, Pengerusi PH itu berkata pihaknya berusaha untuk mencapai rundingan antara GRS-BN dan PH supaya tidak ada pertembungan ketiga-tiga gabungan parti terbabit dalam PRN17.
Susulan itu, Masiung berkata pada dasarnya Gagasan Rakyat yang menjadi tunggak GRS sudah pasti tidak akan bersetuju cadangan Anwar supaya tiga gabungan parti itu menjalinkan hubungan 'cinta tiga segi'.
Menurutnya, GRS dan PH Sabah sudah sebati dengan kerjasama politik yang sedia wujud dalam mengurus pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Katanya, GRS telah hilang kepercayaan dengan BN-UMNO kerana pernah menghianati jalinan kerjasama menerusi 'Langkah Kinabalu'.
Mengulas lanjut, Masiung menjelaskan sejak peristiwa Langkah Kinabalu yang dirancang oleh parti itu, pimpinan tertinggi BN terus meniupkan sentimen permusuhan dan memperlekehkan GRS dengan pelbagai taktik dan strategi.
"Dalam masa sama BN-UMNO Sabah juga telah mengambil keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan GRS.
"Kami berharap Perdana Menteri menghormati pendirian kami dan mengotakan janjinya menyerahkan kepada pengerusi GRS (Hajiji) mengetuai rundingan kerusi kepada parti-parti dalam pakatan politik menjelang PRN17," katanya.