![]() |
Ewon sewaktu ditemui media di Karnival UDA BERSAMA Bizfrancais Pernas di Penampang, hari ini |
PENAMPANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ewon Benedick, menegaskan perbincangan masih berjalan antara PH Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Menurutnya, perbincangan antara parti komponen PH perlu diberi ruang terlebih dahulu dan sebarang keputusan berhubung halatuju gabungan parti itu akan diumumkan setelah dimuktamadkan.
Katanya, buat masa ini beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada tugas di kementerian sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
"Sedang berbincang, bila perbincangan itu dimuktamadkan, saya akan nyatakan. Kita fokus kepada kerja dulu.
"Sehingga Dewan dibubarkan, saya akan fokus kepada kerja sebenar saya di kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival UDA Bersama Bizfrancais Pernas di Buhavan Square, Penampang.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PH, yang didakwa telah membantu menstabilkan politik di negeri itu.
Langkah berkenaan bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri menumpukan perhatian kepada pembangunan serta penyelesaian isu kemudahan asas.
Dalam masa terdekat, GRS dan PH dijangka duduk semeja untuk memutuskan agihan kerusi yang akan ditandingi parti masing-masing menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.