KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Kawang menyelar kenyataan sinis Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berisiko menjadi liabiliti kepada partinya.
Ketuanya, Azrul Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, berkata tuduhan itu dilihat sebagai cubaan Mustapha menutup kelemahan PKR yang kini berdepan sentimen negatif rakyat.
Katanya, isu kematian Allahyarhamah Zara Qairina yang mencetuskan gelombang tuntutan keadilan adalah antara contoh jelas kelemahan pemimpin PKR dalam kerajaan kerana gagal mengurus komunikasi berkesan dengan rakyat.
"Akibat kelemahan itu, ruang fitnah dan maklumat palsu menjadi tidak terkawal sehingga menimbulkan ketidaktentuan serta menjejaskan keyakinan rakyat.
"Inilah sebenarnya liabiliti yang dimaksudkan Mustapha, tetapi beliau cuba mengalih kelemahan itu kepada pihak lain," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Azrul mencabar Mustapha supaya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar tidak menjalinkan kerjasama politik dengan GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang sekiranya beliau benar yakin dengan dakwaannya.
"GRS konsisten membawa agenda kestabilan politik Sabah, memacu pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan baharu dan membela rakyat melalui dasar berkesan.
"Inilah rekod sebenar yang dinilai rakyat, bukannya retorik politik sempit yang dimainkan Mustapha," katanya.